Tuesday, 7 June 2011

Pilihan Demi Pilihan

                            -gambar sekadar hiasan-
      
Kita wajar untuk membuat sesuatu keputusan, lebih-lebih lagi kalau ianya berkaitan dengan diri kita sendiri. Namun banyak yang perlu kita pertimbangkan sebelum membuat keputusan. Antaranya adalah apakah kesan jangka pendek dan jangka panjangnya terhadap kita. Hal ini sangat penting untuk menggelakkan kita dari membuat keputusan yang terburu-buru tanpa berfikir panjang.

        Kalau kita hanya berfikir tentang kesan sementara yang bagi kita menyeronokkan, hal itu adalah tidak wajar sama sekali. Bagaimana pula dengan hari-hari mendatang yang bakal kita lalui, cukup kuatkah kita untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan yang mendatang. Seharusnya apabila kita membuat keputusan, kita perlu meletakkan target dan matlamat yang perlu kita capai. 

Persoalannya apakah antara target yang perlu kita persiapkan dan apakah persediaan yang perlu kita lakukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diduga. Ramai di antara kita yang memandang enteng akan hal ini. Oleh kerana mengambil mudah akan hal ini, maka mereka tidak sedar apa risiko yang akan ditanggung oleh mereka sekiranya memilih jalan ini.

Tidak salah untuk kita mengambil risiko, tapi biarlah kita mempersiapkan diri kita dengan 1001 strategi untuk menanganinya. Itu adalah lebih baik dari konon-kononnya tidak takut untuk mengambil risiko, namun apabila terjadi sebarang rintangan mudah sahaja kita mengalah. Hal ini terjadi adalah kerana kita tiada target yang ingin dicapai.

Letakkan sahaja sasaran anda untuk berjaya dalam hidup biarpun dalam apa jua bidang yang anda ceburi. Contohnya yang paling mudah adalah seorang tukang jahit. Tidak semestinya seorang tukang jahit tidak boleh berjaya dalam hidupnya hanya kerana dia menceburi pekerjaan yang dianggap remeh dalam masyarakat. Kita kena tahu dan kaji tentang sesuatu bidang yang kita ceburi sama ada ia membawa keuntungan atau tidak. Ingatlah rezeki tetap  akan ada selagi kita berusaha di samping berdoa untuk mendapatkannya.

Namun tidak salah untuk mencuba kerana biarpun kita menemui kesulitan sewaktu di awal penglibatan, kita masih punya akal untuk mencari jalan bagi menyelesaikan permasalahan kita. Jangan sesekali lari dari masalah dengan berhenti dari bidang yang diambil, teruskan berusaha mencuba dan jangan sesekali berputus asa. Biarpun kita seringkali merasa tertekan, cubalah untuk berfikiran positif  mengenainya. Carilah sesuatu yang menyenangkan hati kita dalam bidang tersebut.

Secara tuntasnya, kita perlulah mempunyai pendirian yang tetap. Tidak perlulah bertukar-tukar bidang yang diambil dengan mempunyai pilihan-pilihan yang lain tanpa sebarang sebab yang munasabah. Tumpukan sahaja pada bidang yang kita ambil, dan Insya-Allah sekiranya kita tekun dalam apa jua yang kita lakukan, kita pasti akan mendapat kejayaan yang diharapkan. Yakinlah pada kekuatan dan kelebihan yang ada pada kita.

Adakah ini Dugaan Berat Untukku?

Kita akan sentiasa mengharapkan yang terbaik dalam hidup kita, dan apabila kita diberi dua pilihan. Sudah tentu kita buntu namun kita pasti ...