Friday, 27 May 2011

Si Dia yang bernama H

        Dulu aku pernah mempunyai seorang kawan baik yang ku kenali sebagai H. Kami kenal melalui telefon, yang uniknya dia cakap dia ambil nombor telefonku melalui gabungan nombor plat kereta. Aku sekadar mengiyakan sahaja kerana bagiku semua itu tidak penting pun kerana bukan selalu kami berhubung disebabkan dia mengguna talian happy, manakala aku pula celcom. Hampir lama juga kami tidak berhubung langsung, ditambah pula dengan aku yang sibuk dengan pengajianku.

        Dijadikan cerita, pada suatu hari. Semasa aku pulang ke kampung kerana ada kenduri tahlil, si dia tiba-tiba menelefonku dan bertanya khabar. Lama kami berbual panjang dan ketika itulah si dia menawarkan untuk membeli simcard happy kepadaku. Aku menolak dengan baik, namun dia tetap berkeras untuk membelinya. Aku membiarkan sahaja kerana padaku mungkin dia sekadar main-main saja. Namun tidakku sangka, dia menelefonku meminta alamatku di Terengganu kerana dia ingin pos simcard yang baru dibelinya kepadaku. Untuk tidak menghampakannya, aku bagi alamat sahabatku kepadanya.

        Beberapa hari kemudian, simcard tersebut sudah ada di tanganku. Aku terharu kerana mendapat kawan yang baik seperti dia. Tidak ku sangka dia betul-betul mengotakan kata-katanya, aku ingin membayar semula harga simcard tersebut, namun si dia mati-mati menolak dan mengatakan dia ikhlas memberinya sebagai tanda persahabatan. Malah si dia juga turut membeli nombor happy yang sama seperti ku. Beza antara nombor kami hanyalah dua nombor sahaja iaitu dia 62, manakala aku pula 49.

        Selepas itu, kami berhubung seperti biasa namun tidak terlalu kerap kerana aku masih lagi sibuk meneruskan pengajianku. Di tambah pula, ketika itu aku sudah mempunyai kekasih hati dan jarang sekali berhubung dengan dia. Sehinggalah baru-baru ini, selepas aku menghabiskan pengajianku di semester kedua, dia semakin kerap menelefonku walaupun dia tahu aku sudah berteman. Mungkin disebabkan perbezaan umur kami yang jauh iaitu 9 tahun, jadi barangkali dia mengganggapku sebagai adiknya. Tambahan pula, dia tidak mempunyai adik perempuan. Lantas itu, dia tidak kisah dengan semua itu kerana dia sememangnya suka berkawan.

        Dari situlah aku mengenali hati budinya, dia seorang yang baik, tidak suka berkira dan pandai mengambil hati. Ketinggiannya mencecah 169m dan beratnya dalam 70kg, itupun dia sendiri yang memberitahunya. Namun kebenciannya yang paling aku tahu adalah dia tak suka dipaksa, lantaran itu, aku sangat menghormatinya sebagai seorang kawan yang berkongsi saat suka dan duka. Ketika inilah aku putus hubungan dengan kekasihku, namun aku tidak memberitahu kepadanya. Hanya keluarga dan sahabatku sahaja yang kuberitahu. aku tak mahu perpisahanku diketahui semua. Biarlah hanya segelintir sahaja yang tahu.

Apabila sudah lama kenal, teringin juga aku melihat wajahnya. Dia berkongsi keinginan yang sama. Lalu dia berjanji ingin menghantar gambarnya, sebelum itu dia ada menghubungiku. Lama kami berborak dan aku masih ingat lagi dia pernah berkata ingin memberitahuku sesuatu mengenai maksud di sebalik air mata seseorang dan mengetahui cara perwatakan seseorang melalui tutur kata.

        Aku teruja untuk mengetahuinya dan dia berjanji untuk menghubungiku di hari yang lain untuk menceritakannya. Aku akur. Ketika itulah sesuatu yang pelik berlaku kerana sudah hampir seminggu dia mendiamkan diri dan tidak menghantar sebarang berita. Aku sangat musykil, tambahan lagi keempat-empat nombor telefonnya yang aku tahu semuanya tidak aktif. Yang aku ada sekarang tinggallah nombor telefon pejabatnya, namun aku segan untuk menelefonnya kerana bimbang dia berfikir yang bukan-bukan. Lagi-lagi pula aku tidak mempunyai sebarang urusan penting untuk diberitahu kepadanya. Lalu aku membiarkan sahaja dia dengan dunia dia.

        Hinggalah pada suatu hari, si dia menelefonku sebanyak dua kali melalui nombor pejabatnya. Namun aku tidak dapat menjawab panggilannya kerana handsetku berada dalam bilik, manakala aku pula berada di ruang tamu. Itupun setelah anak saudaraku yang memberitahu handsetku berbunyi. Aku tidak tahu adakah aku patut menelefonnya kembali. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja kerana aku tidak mahu dikatakan terhegeh-hegeh. Sampailah sekarang kami tidak berhubung, dan aku masih tertanya-tanya apakah sebab muhasabab dia mendiamkan diri. Dan itu adalah panggilan terakhir darinya. Sekalipun aku ada berbuat salah, kenapa dia tidak memberitahuku. Aku juga manusia biasa yang bisa buat banyak silap. Namun hanya dia dan Allah S.W.T sahajalah yang tahu mengapa dia buat macam ni. Wallahualam..,

No comments:

Post a Comment

Adakah ini Dugaan Berat Untukku?

Kita akan sentiasa mengharapkan yang terbaik dalam hidup kita, dan apabila kita diberi dua pilihan. Sudah tentu kita buntu namun kita pasti ...